Kerjaya dalam bidang politik tanah air Sabran Asmawi

Karier politik Allahyarham TG bermula sekitar penghujung tahun 1960-an awal 1970-an di mana beliau menyertai Parti Islam Se-Malaysia PAS sebagai wadah perjuangan.

Di dalam PAS Allahyarham TG melewati sekurang-kurangnya lima generasi kepimpinan iaitu Allahyarham Dr Zulkifli Muhammad, Allahyarham Tan Sri Datuk Haji Mohd Asri Haji Muda (HMAM), Allahyarham Tuan Guru Haji Yusuf Rawa (TGYR), Allahyarham Dato’ Haji Fadzil Mohd Noor (DHFN) dan YBhg. Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi bin Awang (TGHA).

Tan Sri Datuk HMAM yang kebetulan menantu kepada Syeikh Juned Tola yang tinggal di Padang Rengas tidak jauh dari pekan Bagan Serai telah berkahwin dengan anak Syeikh Juned Datin Sakinah Syeikh Juned. Tan Sri Datuk HMAM sering turun ke daerah Bagan Serai dan Gunung Semanggol (walaupun kampong halamannya jauh di negeri Kelantan) adalah antara pencetus idea perjuangan diperingkat awalnya. Namun perjuangan yang di bawa oleh Allahyarham Dr Zulkifli Muhammad yang terkenal dengan kelantangannya ketika berhujjah di Parlimen, adalah yang mula-mula menyuntik semangat TGHS untuk bergiat aktif. Dari sinilah bermulanya bibit-bibit dan minat yang mendalam timbul untuk menceburkan diri dalam bidang politik tanah air.

Di antara keempat-empat tokoh Presiden PAS terkemudian, Allahyarham Dato’ Haji Fadzil Mohd Noor adalah yang paling akrab dengan Allahyarham TG. Di zaman Allahyarham DHFN menjadi Presiden, Allahyarham TG dilantik menjadi Pesuruhjaya (PJ) PAS Negeri Perak iaitu jawatan tertinggi parti di peringkat negeri selama 2 penggal berturut-turut iaitu dari tahun 1997 hingga tahun 2002. Di ketika ini jugalah Allahyarham TG memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N9 Gunung Semanggol Perak dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-10. Setelah DHFN kembali ke Rahmatullah pada Mar 2003, TGHS tidak melepaskan peluang untuk menghadirkan diri bagi memberi penghormatan terakhir di Darul Ulum, Kedah yang dihadiri oleh ratusan ribu manusia dari seluruh negara.

Semasa menjawat jawatan sebagai PJ PAS Perak, Allahyarham TG dilihat telah memberikan sepenuh komitmennya dalam menjalankan tanggungjawab serta melaksanakan amanah yang telah diberikan. Allahyarham TG adalah antara yang paling konsistan dalam melaksanakan apa juga dasar yang ditetapkan parti dari peringkat pusat. Juga dilihat seorang yang sangat kuat bekerja dan gigih dalam mengikuti program parti. Dari mesyuarat bulanan (di Pusat Tarbiyah PAS, Taman Melewar Selangor), Muktmar, Seminar, dan pelbagai aktiviti yang di adakan. Allahyarham TG tidak pernah ketinggalan menghadirkan diri di setiap program yang dianjurkan Parti di seluruh negara dari utara ke selatan timur dan barat. Jawatan terkahir Allahyarham TG dalam dalam Parti adalah selaku Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak, Pengerusi Lujanah Tarbiyyah dan AJK Dewan Ulama’ PAS Perak selain daripada kekal selaku Yang DiPertua PAS Kawasan Bagan Serai dan Ketua Cawangan Alor Pongsu.

Di antara ungkapan yang amat terkesan kepada masyarakat adalah apabila Allahyarham TG menyatakan bahawa:

“Jika ada orang yang mengatakan bahawa politik tidak boleh di bicarakan di dalam masjid, ia seumpama menghalang orang membaca al-Qur’an di dalam masjid. Ini adalah kerana, di dalam al-Qur’an ada menyebutkan soal politik dan... Jika kita fikir lebih jauh sedikit lagi, ia seumpama menghalang orang dari membaca al-Qur’an dan seumpama menghalang orang beramal ibadat kepada Allah Ta'ala dan seumpama menghalang orang untuk mendampingi Allah tuhan pencipta!!! dan adakah ini yang nabi kita ajarkan?”

Rujukan

WikiPedia: Sabran Asmawi http://quran.al-islam.com/Targama/DispTargam.asp?n... http://www.mail-archive.com/harakahdaily@yahoogrou... http://www.ijn.com.my http://www.karyanet.com.my/knet/ebook/preview/p_Ma... http://www.pilihanraya.com.my http://www.utusan.com.my/utusan/arkib.asp?y=2005&d... http://www.utusan.com.my/utusan/arkib.asp?y=2008&d... http://www.utusan.com.my/utusan/arkib.asp?y=2008&d... http://www.utusan.com.my/utusan/arkib.asp?y=2008&d... http://mufti.penang.gov.my/ahlijawatankuasa.htm